Siapa ni dah kawin ke? sempat suami lagi...

Hanya dengan sebuah lagu, Langit Ke-7 namanya tidak pernah tercicir dalam senarai pencalonan akhir
IA antara catatan permulaan terindah yang tidak pernah diduga Sharifah Zarina Wan Hassan. Bermula dengan penyertaan sebagai finalis Anugerah Juara Lagu Ke-19 menerusi lagu Syair Pesona, kembara seni wanita berusia 25 tahun ini sentiasa dipahat kenangan bermakna.
“Setahun yang terlalu besar ertinya kepada artis baru seperti saya,” kata penyanyi yang bernaung di bawah payung Interglobal Music ini.
Sharifah Zarina menganggap dirinya terlalu bertuah kerana kekuatan Langit Ke-7 meletakkannya pada kedudukan yang cukup selesa. Pun begitu, dia belum pernah memegang sebarang trofi. Namun tersenarai dalam barisan akhir acara hiburan berprestij adalah pencapaian yang membanggakannya.
“Tidak semua artis baru berpeluang merasai pengalaman seperti yang saya lalui. Justeru, saya rasa cukup bernasib baik kerana dapat naik turun pentas menghadiri acara hiburan berprestij,” katanya.
Akui ibu muda kepada cahaya mata perempuan itu, semua yang dikecapi itu tidak diperoleh sekelip mata. Lama dia menanti, mencari ruang untuk memperkenalkan bakat. Hanya selepas kelahiran album yang menggunakan namanya sebagai judul, satu persatu rezeki mendatangi.
“Dulu kedua ibu dan bapa tidak merestui hasrat saya untuk menjadi penyanyi. Hanya selepas berkeluarga, baru saya mengecap cita-cita itu. Barangkali ini semua rahmat atas kesabaran saya yang tidak jemu mencuba nasib,” katanya.
Naib juara Bintang RTM 1999 itu berterima kasih kepada suaminya yang sentiasa peka dan menyokong kuat langkahnya di bidang seni. Malah kata Sharifah Zarina, kalau sehari tidak berlatih di rumah, suaminya pasti gusar.
Suaminya juga kerap membantu menyediakan kelengkapan, bahkan tidak jemu memberi kritikan untuk dia memperbaiki mutu persembahan.
“Dia pengkritik nombor satu dan sentiasa menegur jika saya melakukan kesilapan dalam persembahan. Sokongan padunya memberi saya kekuatan untuk terus menggilap bakat,” katanya.
Belum berpuas hati
POPULARITI Langit Ke-7 yang terlalu kuat membenam impian Sharifah Zarina untuk memperkenalkan lagu lain dalam album itu. Walaupun cuba mengetengahkan single kedua, Di Sini Bersemi, namun lagu ciptaan Azmeer itu membayangi kekuatan lagu lain.
“Saya tidak mampu berbuat apa kerana lagu itu juga yang menjadi pilihan. Kerana itu, saya kira lebih baik jika merakamkan saja album baru,” katanya.
Tetapi bukan dalam masa terdekat ini kerana katanya, dia masih ingin memperkenalkan lagi album pertamanya yang mempunyai banyak lagu bermutu. Dia hanya akan kembali ke studio, April nanti.
Untuk album keduanya itu, Sharifah Zarina berkeinginan untuk terbabit daripada awal. Bermula pemilihan lagu, menentukan konsep album dan pembikinan kulit album, dia ingin terbabit sama.
“Dengan pengalaman yang ada, saya ingin kembangkan lagi kerana saya serius mengejar cita-cita dalam bidang ini,” katanya.
Doa Sharifah Zarina, kejayaan Langit Ke-7 akan menjadi titik permulaan untuk dia terus mengorak langkah.
“Saya cukup takut kalau hanya dikenali dengan sebuah lagu itu saja. Saya sentiasa berdoa akan ada kesinambungan kepada kejayaan itu dan berharap ia akan berulang apabila album kedua lahir nanti.
“Saya menjadi penyanyi bukan untuk mengejar glamour tetapi kerana ingin dikenali sebagai anak seni berwibawa,” katanya.
ABPBH 2005 yang mengejutkan
BERTANDING dalam kategori Artis Baru Wanita Popular, pemilihan namanya dalam senarai Top 5 kata penyanyi itu adalah sesuatu yang mengejutkan. Apatah lagi, saingan terlalu luas kerana kategori itu menggabungkan nama baru dunia nyanyian dan lakonan.
“Membolosi Top 5 adalah di luar jangkaan kerana saya tidak berasa diri ini popular. Rasanya ramai lagi teman seangkatan yang lebih popular dan dikenali. Kerana itu, saya terkejut sangat apabila dihubungi dan dimaklumkan tersenarai pada peringkat akhir,” katanya.
Tentu sekali katanya, dia tidak mengharap kemenangan kerana saingannya bukan calang-calang artis. Melihat populariti Sharifah Amani dan Farah, serta kekuatan nama Pija dan Nora Danish membuatnya agak gementar.
“Berada bersama mereka dalam Top 5 adalah pencapaian yang sudah terlalu besar,” katanya yang masih belum membuat persiapan walaupun ABPBH 2005 semakin dekat menghampiri.

0 Comments:
Post a Comment
<< Home