Dua tahun Siti Nurhaliza Tarudin melayari bahtera rumah tangga
Selepas dua tahun.
Meskipun rumah tangga bersama Khalid masih belum dikurniakan kehadiran si kecil, Siti tetap kelihatan gembira dengan statusnya sebagai isteri. Namun, gejolak hati penyanyi nombor satu negara itu tiada siapa yang tahu.
Mendiami banglo besar 13 bilik yang tersergam indah di atas Bukit Antarabangsa, barangkali membuatkan Siti kesunyian tanpa si comel yang menceriakan istana indah miliknya dan Khalid.
Kata Siti, dia tidak pernah berasa kesunyian kerana mahligai indah itu tidak pernah sunyi. Selain mereka berdua, banglo berkenaan turut didiami ibu bapa mentuanya. Sesekali di hujung minggu, anak-anak tiri Khalid terutama yang bongsu, Mohd Azif datang bertandang. Adik-beradik dia dan suami juga saban minggu berkunjung tiba menyebabkan hidup Siti tidak pernah sunyi.
Jika tidak sibuk dengan undangan nyanyian pula, Siti akan ke spa dan salun untuk memanjakan diri. Katanya, dia tidak dapat berbuat demikian ketika zaman anak dara lantaran hidupnya dulu dihambakan pada kerja. Namun, sejak bergelar isteri dia dapat melakukan semua perkara itu kerana hanya menerima undangan di atas keizinan suami.
Nampaknya, Siti kini menjalani gaya hidup seperti mak datin lain yang gemar berkunjung ke spa dan salun. Kala diusik dengan perkara itu, Siti malu-malu.
"Bagi Siti bukan mak datin saja yang boleh ke spa atau salun. Semua orang boleh melakukan perkara itu. Sebelum ini Siti teringin nak buat tetapi tidak ada waktu kerana terlalu sibuk dengan kerja. Lagipun sekarang Siti tidak terlalu terikat dengan kerja jadi bolehlah Siti luangkan waktu untuk memanjakan diri," katanya ketika ditemui di Laman Santai, Istana Budaya, Sabtu lalu.
Dalam acara yang bertemakan Suara Seniman, Siti yang mengenakan sepasang kurung moden berwarna biru mendendangkan beberapa buah lagu antaranya Ku Mahu dan Biarlah Rahsia.
Selain berkunjung ke spa dan salun, di waktu senggang penyanyi itu juga digunakan untuk berkaraoke. Sejak jarang menyanyi, kata Siti dia perlu berlatih sendiri di rumah untuk memantapkan lagi vokalnya. Semuanya kerana dia mendapati sukar untuk menyanyi jika agak lama tidak berbuat demikian.
Siti akan mula sibuk di studio Julai nanti dan bakal merakamkan lagu daripada komposer tempatan antaranya Zubir Ali, S Atan, Fauzi Marzuki, Adnan Abu Hassan dan ramai lagi.
"Siti juga kembali merakamkan lagu daripada Abang D (Adnan Abu Hassan). Siti mengakui dia seorang komposer yang hebat dan Siti masih menghormati dia serta tidak pernah mengenepikannya. Kadang kala Siti perlukan perubahan dari segi konsep album tetapi itu tidak bermaksud Siti mengenepikan dia," kata penyanyi itu yang merindui zaman diajukan soalan laser daripada wartawan.
